Friday, February 11, 2011

PERUTUSAN NALURI =)


KENALI NYA SEBELUM MENGENALINYA
 BERIMAN kepada Allah merupakan perkara yang paling asas dan ia mendasari seluruh ajaran Islam. Bermula dengan keimanan kepada Allah inilah akan bercambah kepada kepercayaan yang lain dan ia merupakan semulia-mulia keimanan.
Bukti Kewujudan Allah.
Kewujudan Allah adalah kenyataan yang tidak boleh disangkalkan dan boleh dibuktikan melalui beberapa kaedah:
i) Melalui logik akal
Kewujudan alam semesta dan segala isi kandungannya adalah sebagai bukti tentang kewujudan Allah. Contohnya bumi yang terbentang luas dan segala isinya seperti manusia, binatang, tumbuhan dan segala yang ada. Segala cakerawala di langit yang tersusun indah yang begitu menakjubkan, semuanya mempunyai pertalian erat dan saling mengukuhkan antara satu sama lain membuktikan kewujudan dan keesaan Allah. Dari segi logik akal, manusia tidak dapat menerima bahawa setiap yang ada dalam dunia ini terjadi dengan sendiri tanpa ada Pencipta. Setiap sesuatu yang wujud mesti ada penciptanya sekalipun kita tidak  mengetahui bagaimana ia dicipta. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula kamu sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau kamu benar-benar hanya beribadah kepada Allah”. ( Fussilat: 37)
Islam menyeru manusia supaya menggunakan akal dan pancaindera untuk merenung tentang kejadian alam ini dengan penuh keajaiban bagi mengenali Allah. Dengan renungan dan penyelidikan yang dilakukan, sudah tentu manusia dapat mengenali sifat-sifat Allah yang bersifat dangan segala kesempurnaan.
Dia sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya.
Dia sahaja yang hidup secara mutlak.
Dia sahaja yang kekal selama-lamanya.
Dia sahaja yang menguasai segala yang ada dilangit dan di bumi.
Dia sahaja yang bebas melakukan segala yang dikehendaki.
Dia sahaja yang maha mengetahui keadaan sekalian makhluk.
ii) Fitrah Manusia
Secara fitrahnya dalam diri manusia ada suatu sifat yang tertanam dalam jiwa merasai kewujudan Allah dan perasaan ini dimiliki sejak dilahirkan. Allah telah menciptakan manusia mempunyai sifat beragama dan mengakui kewujudan-Nya dan sifat inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Kehendak beragama ini adakalanya tertutup atau hilang disebabkan faktor-faktor yang mendatang sehingga manusia berada dalam kelalaian dan tidak mengetahui kewajipannya kepada penciptanya. Kelalaian dan kealpaan ini akan terubat apabila manusia ditimpa oleh kemudaratan atau kesusahan dalam kehidupannya kerana pada waktu inilah mereka akan merujuk, memohon dan mengadu kepada Allah. 
iii) Wahyu
Banyak ayat al-Quran menjelaskan bahawa Allah adalah Pencipta segala isi alam ini. Nabi Muhammad saw adalah sebagai penjelas kepada ayat suci al-Quran. Perutusan para nabi juga disebut oleh Allah di dalam al-Quran. Nabi-nabi terdahulu sehingga kepada Nabi Muhammad saw mengajak manusia supaya mengingati Allah sebagai Tuhan pencipta. Di antaranya doa Nabi Adam yang disebut dalam surah al-A’raf ayat 23, maksudnya: “Wahai Tuhan (pencipta) kami! Kami telah menzalimi diri kami sendiri dan sekiranya Engkau tidak mengampunkan  kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah  kami antara orang yang rugi”.
Mentauhidkan Allah
Perkataan al-Tauhid membawa maksud Esa atau mengetahui sesuatu itu satu. Mantauhidkan Allah ialah mengaku bahawa tidak ada benda lain, kuasa lain, sama ada manusia atau jin atau apa sahaja selain daripada Allah. Tauhid adalah ajaran sepanjang sejarah manusia. Ajaran setiap Nabi dan Rasul sejak Nabi Adam as sehinggalah Nabi Muhammad saw. Perkataan al-Tauhid dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
i) Tauhid Rububiyyah
Tauhid Rububiyyah bererti mengesakan Allah sebagai pencipta, pemilik, pendidik, penguasa dan pentadbir seluruh alam. Perkataan Rab banyak disebut dalam al-Quran dan al-Hadith, contohnya dalam surah al-Fatihah ayat kedua yang bermaksud:“Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”.
Segala yang ada dalam alam ini adalah dalam pengetahuan Allah. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Tauhid Rububiyyah ini dimiliki oleh semua manusia sama ada Islam ataupun kafir.
ii) Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Uluhiyyah bererti yakin bahawa hanya Allah yang berhak disembah, dicintai, dipatuhi dan sebagai tempat memohon pertolongan. Tauhid Uluhiyyah menuntut manusia mengabdikan diri kepada Allah dari semua sudut; iaitu Allah sebagai matlamat pengabdian, Allah sebagai tempat perlindungan, Allah sebagai tempat tumpuan kecintaan, Allah  sebagai pemberi rezeki dan Allah sebagai sumber perundangan.
iii) Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat
Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat ialah mengesakan nama-nama Allah yang amat indah dan sifat-sifat-Nya yang sangat luhur. Nama-nama dan sifat-sifat tersebut dianjurkan oleh Allah kepada manusia supaya menggunakannya untuk mengetahui dan mengenali serta mengesakan-Nya. Dengan nama-nama ini juga, manusia diperintahkan menyeru, memohon dan berdoa kepada-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namanya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang telah mereka kerjakan”. (al-A’raf:180)
Jumlah nama-nama Allah yang baik (Asma’ al-Husna) ada 99. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang menghafaznya ia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah SWT itu ganjil dan suka kepada yang ganjil”.(Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).
Sesungguhnya sifat-sifat Allah bukan sahaja berjumlah dua puluh sifat, tetapi terlalu banyak sehingga tidak ada sesiapa yang mengetahuinya selain Allah SWT....

No comments: